Umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia
menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Haji / Hari Raya Aidiladha). Salah
satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah
ibadah korban. Melaksanakan korban (yang dalam istilah fiqhnya disebut udhiyah) adalah menyembelih haiwan ternak pada Hari Raya Aidiladha dan hari tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah
agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus
menerus untuk
mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.
mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.
Kita amat gembira melihat banyaknya kaum Muslim yang
menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan
ternak demi mengharapkan keredaan Allah s.w.t. Kita tanamkan niat murni
dan ikhlas ini kerana Allah s.w.t dan usah sekali-kali ia dilakukan
untuk lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih daripada itu, berkorban itu
biarlah benar-benar selaras dengan tuntutan Rasulullah s.a.w.
Dalam satu riwayat daripada Aisyah, disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tidaklah
keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih
dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban).
Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya,
kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai
kepada Allah lebih dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri
kamu dengannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).
Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut
adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan
darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari Kiamat kelak
korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang
sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala dari
setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.
Baginda Rasulullah s.a.w sendiri dalam sebuah hadis
telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban
sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami
yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering
bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak dengan Allah.
Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya.
Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh yang demikian
itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda Nabi s.a.w yang
bermaksud: ”Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami.” (Riwayat Ibnu Majah)
Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan
Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya
kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat.
‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.
‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada
penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia di atas
segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan
haiwan korban itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: ”Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan ke atas Ismail a.s.” (As-Shaffat: 107)
Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang
diungkapkan dalam al-Quran, bahawa amalan korban berasal daripada Nabi
Ibrahim a.s yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah
dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan.
Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim.
Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya, Ismail, selesai membina Kaabah
di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan
dasar-dasar tauhid, Allah s.w.t menguji kekukuhan iman kedua-dua nabi
ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup,
iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
Menurut Imam Syafie, hukum korban adalah sunat muakkad yang amat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj
(jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada
di kampung halamannya sendiri, kerana ia adalah amalan yang amat
dikasihi Allah pada hari nahr (Hari Raya). Namun begitu,
terdapat sebahagian ulama yang menyatakan ia adalah wajib kepada mereka
yang mampu berdasarkan firman Allah yang bermaksud: ”Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan berkorbanlah.” (Al-Kauthar: 2)
Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua
orang anak Nabi Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas
atas dasar niat demi mematuhi perintah Allah s.w.t. dan mendekatkan diri
kepada-Nya. Manakala anak yang kedua juga berkorban tetapi tidak
berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan
diri kepada Allah. Oleh hal yang demikian itu, korban anak yang pertama
diterima di sisi Allah s.w.t, manakala anak kedua tidak diterima oleh
Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai
Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan
Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua
mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil), dan tidak
diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):
“Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Habil) menjawab: “Hanyalah Allah
menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maidah: 27)
Amalan ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka
tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia)
berusaha bersama-sama dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak
kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan
menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai
ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan
mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” (Al-Shaffat: 102)
Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s
menyembelih Ismail kemudian membatalkannya dan menebusnya dengan seekor
kibasy? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk
membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan
kepada siapa sahaja bahawa tiada sesuatu yang mahal atau amat bernilai
untuk dikorbankan apabila telah tiba panggilan atau seruan Ilahi. Inilah
bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut
bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan
kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah s.a.w kepada
manusia.
Amalan berkorban adalah sebahagian usaha mendekatkan diri (taqarrub)
kepada Allah s.w.t dan mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah
ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Manakala amaliah
yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan
hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging
korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk
bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan
Tuhannya) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan
persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan
kepada Allah. Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang
mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan
di dunia dan akhirat.
Ibadah korban adalah memanifestasikan rasa syukur dan
puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah s.w.t
setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan
syaitan-syaitan – menjauhkan diri daripada Allah serta mengingkari
larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan
menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi, yang dikorban
bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi haiwan sebagai
petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan
adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus,
tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya,
kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat
kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Berpandukan daripada kisah Habil dan Qabil tentang
korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu
adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban
harus menggunakan haiwan yang baik (sihat) dan berkualiti, tidak cacat,
cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun hal-hal berkaitan ‘darah’
atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting
adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi makna sama
sekali untuk Allah kerana Dia adalah Allah Yang Maha Agung, yang tidak
memerlukan daripada apa-apa pun.
Dengan korban tersebut diharapkan agar ketakwaan kita
kepada Allah semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang
sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk-Nya. Oleh hal yang demikian
itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang
bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman
yang bermaksud: ”Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu
tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai
kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.”
(Al-Hajj: 37)
Apabila melakukan korban haiwan ternak sebagai ritual
keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban / haji,
maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada
hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan apabila disertai oleh
ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sikap itulah yang akan membezakan
daripada pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan
bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.
No comments:
Post a Comment