Kenapa Dr. Maurice Bucaille Memeluk Islam Selepas Bedah Mumia Firaun?
Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti,
mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat
terkenal pada tahun 1976.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman
Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar
Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.
Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.
Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
Ini termasuklah apabila Presiden Mitterand dan para pemimpin Perancis
yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis.
Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para
pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang
sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang
pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19
Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945
beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr.
Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar
Sadat.
Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat
mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri
di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan.
Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad
mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat
tenggelam di dalam laut.
Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.
Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding
jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai
penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan
kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan
tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya;
Les Momies Des Pharaons Et La Midecine).
Ekoran penerbitan
laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu
Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie
Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De
Medicine, Perancis.
KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.
mumia ramses
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara
mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara
sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil.
Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat
diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan
makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Dr. Bucaille menjadi
serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini
dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya
Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin
tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal
kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898.
Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di
hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat
membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak
ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah
Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad
(Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun
telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan
Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi
tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab
Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu
hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak
dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan
berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang
berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan
diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan
Psalm 136:15)
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada
disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat
Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu.
Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai
sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel
meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di
belakang mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun dan
membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille
mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan
badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang
datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari
tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92)
Apabila mendengar ayat
ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui
kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu
inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh
lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan
sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang
berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau
kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.
Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan
seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai
bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The
Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr.
Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari
dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini
kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik
tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.
“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai
fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,”
katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah!
No comments:
Post a Comment